Pendahuluan Allah s.w.t. menjadikan setiap makhlukNya berpasang-pasangan. Lelaki pasangannya wanita. Tidak lengkap kehidupan lelaki dan wanita tanpa salah satu daripadanya. Kedua-duanya saling lengkap melengkapi, bantu membantu, tolong menolong dan perlu memerlukan antara satu sama lain dalam menjalankan fungsi masing-masing di bumi Allah sebagai KhalifahNya. Khusus dalam aspek berumahtangga. Allah s.w.t. menjelaskan bahawa isteri sebagai pasangan intim suami di dalam sebuah kehidupan yang penuh kasih sayang. “Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri. Supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya rasa kasih dan sayang di antara kamu. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir”. (al-Rum: 21)
Dari aspek yang lebih umum pula bahawa wanita sama-sama bertanggungjawab di samping lelaki dalam menjalankan tanggungjawab sosial dan kemasyarakatan. Dari aspek ini, wanita bukan sahaja menjadi penyeri rumahtangga, tetapi juga sebagai agen pembentuk masyarakat cemerlang. “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh mengerjakan yang makruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, dan mereka taat kepada Allah dan RasulNya”. (al-Taubah: 71) Lelaki dan wanita mukmin diciptakan untuk sama-sama menjadi pemangkin kecemerlangan manusia. “Kamu (wahai umat Muhamad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman) Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.” (Al-Imran: 110) Oleh kerana itulah juga mereka sama-sama berkewajipan untuk mengubah manusia/masyarakat yang pincang ke arah kecemerlangan. “Sesiapa di antara kamu (lelaki dan wanita) yang melihat mungkar, hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya, jika tidak berkuasa, hendaklah ia mengubahnya dengan lidahnya (teguran lisan), jika tidak mampu juga, hendaklah ia mengubahnya dengan hatinya”. (Muslim. 1:69) Jelas di sini menunjukkan peranan wanita sebagai pemangkin, baik di dalam rumahtangga dan juga di dalam masyarakatnya. Di dalam al-Qur’an satu pertiga hukum hakamnya berhubung dengan keluarga dan peraturan-peraturan yang baik baginya. Peranan wanita dan keluarga adalah penting bagi tamadun yang sihat oleh kerana wanita adalah pusat bagi keluarga dan keluarga adalah asas bagi masyarakat. Oleh kerana itu Islam memandang berat kepada perihal wanita dan keluarga. Antara sebab-sebab penting perlunya keluarga itu ialah (a) untuk menjaga lelaki dan isterinya daripada perbuatan yang dilarang. (b) untuk menjaga supaya jenis insan tu tidak murnah dan menjadi pupus dengan ada keturunan dan peranakan dan © untuk menjaga keselamatan zuriat atau keturunan yang sangat-sangat dipentingkan oleh Islam. Wanita Sebagai Pemangkin Kecemerlangan Suami Pemangkin dari segi bahasa bermaksud bahan kimia (platinum, yis dan lain-lain) yang boleh mengubah kecepatan sesuatu tindakan kimia tetapi ia sendiri tidak mengalami apa-apa perubahan. (Kamus Dewan, 738). Wanita sebagai pemangkin di sini bermaksud ianya agen pengubah dan penggalak yang positif terhadap kecemerlangan suami dan kepimpinannya. Untuk itu, wanita atau isteri berperanan dalam memberikan saham penggalak dan pengubah yang aktif dalam segenap aspek kehidupan suami ke arah mencapai tahap kecemerlangan dan keunggulan. Secara ringkas diperturunkan di sini di antara aspek-aspek kecemerlangan yang harus ada pada setiap suami, dimana isteri bertindak sebagai pemangkin. 1. Kecemerlangan Peribadi/sahsiah akidah, akhlak dan ibadah Sesungguhpun pada dasarnya lelaki/suami berperanan sebagai qawwamu ala al-misa’ (pelindung kaum wanita) namun wanita/isteri tetap boleh berfungsi sebagai membantu pembentukan peribadi, akidah dan ibadah suaminya. Cukup rasanya dibawakan di sini beberapa nas dan riwayat sebagai contoh. Umpamanya kisah Ummu Sulaym dan suami Abu Talhah di awal perkahwinan mereka. Mereka suka sama suka untuk berkahwin. Ummu Sulaymn seorang Muslimah sedang Abu Talhah masih kafir. Abu Talhah menawarkan emas dan perak sebagai mahar (mas kahwin) tetapi Ummu Sulaym mensyaratkan Islamnya Abu Talhah sebagai mas kahwin. Tanpa berlengah Abu Talhah masuk Islam. Contoh kedua, isteri yang salehah diberi peranan penggalak ibadat (terutama yang sunat) kepada suaminya. Sehingga di tengah malam untuk beribadat sunat, hatta ia harus merenjiskan air ke muka suami semata untuk tujuan tersebut. (Rujuk Hadith riwayat Ibn Majah, 1:424). 2. Kecemerlangan Dalam Kerjaya dan Tugas Isteri yang bersikap positif, seharusnya menjadi penggalak aktif dalam kerjaya suaminya. Sikap Lepas tangan tidak patut ada dalam kamus diri seorang isteri, mesti sanggup mengharungi susah senang hidup bersama suami. Pendorong, pemberi semangat dan mengambil tahu kerjaya suami akan menanamkan rasa cinta dan sayang pada isteri. Dua contoh berikut, cukup untuk membuktikan hakikat ini. Tindakan dan sikap Khadijah, isteri Rasulullah s.a.w. di awal turunnya wahyu pertama, jelas menunjukkan isteri sebagai pemangkin yang berkesan. Ketakutan, kegelisahan dan kebingungan suaminya dalam menerima dan memulakan kerjayanya, hilang dengan kebijaksanaan isteri. 3. Kecemerlangan Emosi Dan Perasaan Suami Dalam hidup berumahtangga, kadangkala timbul perkara-perkara yang emosional, yang menggugat peradaban, akibat faktor luar atau dalaman rumah. Sesekali isteri harus mewujudkan suasana gembira bagi merawat emosi suami, mungkin kerana penat letih tekanan pekerjaan. Bergurau senda, berhibur, bersantai dan sebagaimana dapat mengubah suasana. Sebagai tabi’inya isteri tempat suami melepaskan yang terangsang, supaya suami tidak terseleweng di jalan gelap secara tidak sah. Dalam hal ini al-Qur’an mengisytiharkan bahawa setiap jantina; suami isteri saling menyempurnakan antara satu sama lain, menjadi pakaian antara satu sama lain. Firman Allah bermaksud: Meraka (wanita) itu adalah pakaian bagi kamu dan kamu adalah pakaian bagi mereka”. (al-Baqarah: 187) 4. Kecemerlangan Ekonomi Isteri yang diberikan tugas menteri dalam rumahtangga mempunyai aset dalam menjamin kecemerlangan ekonomi suami, sekalipun isteri tidak mempunyai sumber pendapatan. Jimat cermat menguruskan perbelanjaan rumahtangga ada kalanya di tangan isteri. Lebih-lebih lagi isteri yang sama-sama membantu sumber pendapatan. Aktiviti perekonomian ini termasuk dalam bidang ibadah yang dituntut oleh Islam tidak mengira lelaki dan wanita. Semakin banyak sumbangan wanita di bidang ekonomi rumahtangga semakin ia diangkat statusnya di mata Allah. Jika sekiranya wanita memilih untuk bekerja untuk suaminya mencari nafkah keluarga, ia tidak dilarang dengan syarat kehormatan dan kejujurannya terpelihara. Tiap-tiap masyarakat memerlukan pekerja-pekerja wanita untuk kerja yang lebih sesuai bagi mereka. Tiap-tiap masyarakat memerlukan pendidik, doktor dan jururawat perempuan. Di kawasan luarbandar didapati wanita bekerja dengan suami mereka di ladang. Dari sudut ini amat jelas peranan “pemangkin” isteri terhadap kecemerlangan ekonomi suami. Syarat Wanita Sebagai Pemangkin Hakikatnya kecemerlangan memangkinkan kecemerlangan. Oleh itu pemangkin juga seharusnya cemerlang. Kecemerlangan dapat dicapai melalui beberapa syarat antaranya: 1.Ilmu pengetahuan - bijak 2.Bertanggungjawab 3.Kemahuan dan keupayaan 4.Bersifat positif dan berwawasan. 5.Berperibadi wanita dan bermoral, pengasih, penyayang, lemah lembut, amanah, menjaga maruah, tegas, sabar, ikhlas, menepati janji pada suami, saling menghormati, bersyukur dan lain-lain. 6.Bersedia menerima kritikan/teguran. 7.Merendah diri, tidak ego pada suami 8.Mahir mengatur masa dan merancang. Kesimpulan Dan Penutup Wanita atau isteri memikul tanggungjawab yang sama berat dengan suami dalam mencapai kecemerlangan kehidupan. Allah s.w.t. melebih lelaki dari wanita dalam aspek tertentu, demikian juga wanita. Kerana itu adakalanya peranan mereka berbeza-beza. Kekurangan satu pihak dilengkapkan oleh pihak yang satu lagi, demikianlah mereka saling memerlukan. Kelemahan wanita dari aspek kejadiannya, tidak bermakna ia lemah segala-galanya. Kadang-kadang benarlah bila dikatakan: “tangan yang menghayun buaian itulah yang mengoncangkan dunia”. Pokoknya, ke arah mana tujuan hidup dan erti hidup wanita? Semuanya ditentukan oleh prinsip dan pegangan kepercayaan yang dianuti. |